- jpens@ns.gov.my
- 06-761 4077

PROGRAM LATIHAN KESELAMATAN KECEMASAN PEKERJA
Tarikh : 10 September 2026
Tempat : Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan
Jawatankuasa Keselamatan Perlindungan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan (JPeNS) telah menganjurkan Program Latihan Keselamatan Kecemasan bagi meningkatkan pengetahuan, kemahiran serta tahap kesiapsiagaan kakitangan dalam menghadapi situasi kecemasan di tempat kerja.
Latihan tersebut diketuai oleh Dr. Aizat Arif dengan dibantu oleh dua orang fasilitator, iaitu En. Achdemaza Fame dan En. Aidil. Program ini memberikan pendedahan secara teori dan amali kepada para peserta berkaitan kaedah menyelamat serta tindakan awal yang perlu diambil apabila berhadapan dengan situasi kecemasan.
Antara kemahiran yang diajar ialah Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) serta beberapa teknik asas pertolongan cemas dan tindakan menyelamat. Selain penerangan secara teori, para peserta turut diberikan peluang untuk melaksanakan latihan praktikal menyelamat dengan bimbingan fasilitator. Latihan amali ini membolehkan peserta mempraktikkan teknik CPR, kaedah membantu mangsa serta tindakan yang wajar diambil dalam situasi kecemasan secara lebih teratur dan berkesan.
Program ini bukan sahaja menambah ilmu pengetahuan dalam aspek keselamatan, malah meningkatkan kesedaran warga jabatan mengenai kepentingan bertindak dengan pantas, tepat dan tenang ketika berhadapan dengan situasi yang boleh mengancam keselamatan serta nyawa.
Diharapkan agar ilmu dan kemahiran yang diperoleh melalui latihan ini dapat dimanfaatkan dalam kehidupan seharian, khususnya ketika berlaku kecemasan di tempat kerja, di rumah mahupun di tempat awam. Pengetahuan asas seperti CPR, pertolongan cemas dan teknik menyelamat merupakan kemahiran yang amat bernilai dan berpotensi membantu menyelamatkan nyawa.
JPeNS berharap program seumpama ini dapat diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan warga jabatan sentiasa mempunyai tahap kesedaran, pengetahuan dan kesiapsiagaan yang tinggi dalam aspek keselamatan serta mampu menjadi individu yang cekap, tenang dan bertanggungjawab ketika berhadapan dengan situasi kecemasan.
“Keselamatan Tanggungjawab Bersama, Kesiapsiagaan Menyelamatkan Nyawa.”





