•  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  • jpens@ns.gov.my
  • 06-761 4077

PENGAUDITAN INTERIM TERHADAP BAUCAR BAYARAN BAGI TEMPOH JANUARI HINGGA OGOS 2026








PENGAUDITAN INTERIM TERHADAP BAUCAR BAYARAN BAGI TEMPOH JANUARI HINGGA OGOS 2026
📅 Tarikh: 21-23 Oktober 2026
📍 Tempat: Bilik Mesyuarat Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan (JPeNS)
Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan (JPeNS) telah menerima kehadiran pasukan audit daripada Jabatan Audit Negara, Negeri Sembilan bagi melaksanakan Pengauditan Interim terhadap Baucar Bayaran bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026.
Pengauditan ini dilaksanakan bagi meneliti pengurusan kewangan jabatan, khususnya berkaitan baucar bayaran dan dokumen sokongan, bagi memastikan setiap urusan pembayaran dilaksanakan secara teratur serta mematuhi peraturan dan tatacara kewangan yang sedang berkuat kuasa.
Pelaksanaan pengauditan ini turut menjadi platform penting dalam memperkukuh tadbir urus kewangan, meningkatkan kecekapan pengurusan rekod serta memastikan prinsip ketelusan, integriti dan akauntabiliti sentiasa diberikan keutamaan dalam pentadbiran jabatan.
JPeNS menyambut baik pelaksanaan pengauditan ini sebagai sebahagian daripada usaha penambahbaikan berterusan ke arah mempertingkatkan kecekapan pengurusan kewangan dan penyampaian perkhidmatan awam yang berkualiti.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada pasukan Jabatan Audit Negara Negeri Sembilan atas kerjasama dan komitmen yang diberikan.

JPeNS TERIMA PENGIKTIRAFAN PROJEK REFORMASI KERENAH BIROKRASI (RKB) DI PERINGKAT WILAYAH TENGAH 2026



JPeNS TERIMA PENGIKTIRAFAN PROJEK REFORMASI KERENAH BIROKRASI (RKB) DI PERINGKAT WILAYAH TENGAH 2026

Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan (JPeNS) telah menyertai Konvensyen Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) Wilayah Tengah (Selangor dan Negeri Sembilan) Tahun 2026 yang berlangsung pada 6 hingga 8 Oktober 2026 bertempat di Swiss-Garden Hotel, Genting Highlands, Pahang.
Konvensyen ini menjadi platform bagi mengetengahkan inisiatif penambahbaikan proses kerja, mengurangkan kerenah birokrasi serta meningkatkan kecekapan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan awam.
JPeNS telah menerima pengiktirafan bagi projek RKB “Mempercepatkan Proses Pendakwaan Kes Jenayah Syariah daripada tempoh 35 hari kepada 12 hari bekerja melalui Sistem Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan (i-PSNS) yang dibentangkan di peringkat Wilayah Tengah Tahun 2026. Selain daripada itu, projek ini merupakan inisiatif JPeNS dalam memastikan perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan sebaiknya. Pencapaian ini juga mencerminkan komitmen jabatan dalam melaksanakan reformasi birokrasi melalui inovasi dan pendigitalan proses kerja pendakwaan jenayah Syariah. Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah diucapkan kepada pasukan Projek RKB JPeNS iaitu Puan Azazurina binti Mukarab Khan, Tuan Mohd Hafiz bin Lazim, Puan Nor Bazilah binti Abdul Basir dan Cik Rabiatul Radiah binti Anil Rasid atas komitmen, dedikasi dan usaha gigih sehingga berjaya memperoleh pengiktirafan dalam konvensyen tersebut.
Kejayaan ini merupakan hasil kerjasama erat, kesungguhan dan semangat berpasukan warga JPeNS dalam merealisasikan transformasi pengurusan pendakwaan jenayah Syariah yang lebih cekap, sistematik dan berkesan. Pengiktirafan yang diterima merupakan satu pencapaian bermakna kepada JPeNS dalam usaha memperkukuh kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan pendakwaan Syariah.
Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin kepada seluruh warga JPeNS untuk terus membudayakan inovasi, memperkasakan pendigitalan serta melaksanakan reformasi birokrasi secara berterusan demi kecemerlangan jabatan dan perkhidmatan awam.





BENGKEL KHAS SEMAKAN PINDAAN ENAKMEN TATACARA JENAYAH SYARIAH NEGERI SEMBILAN (ETJSNS) DAN ENAKMEN KETERANGAN MAHKAMAH SYARIAH NEGERI SEMBILAN (EKMSNS)




BENGKEL KHAS SEMAKAN PINDAAN ENAKMEN TATACARA JENAYAH SYARIAH NEGERI SEMBILAN (ETJSNS) DAN ENAKMEN KETERANGAN MAHKAMAH SYARIAH NEGERI SEMBILAN (EKMSNS)

📅 Tarikh: 19-21 Oktober 2026
📍 Tempat: Palm Seremban Hotel
Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan (JPeNS) telah menganjurkan Bengkel Khas Semakan Pindaan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 (ETJSNS) dan Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) (EKMSNS) 2003 selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Oktober 2026 bertempat di Palm Seremban Hotel.
Bengkel yang diurusetiakan oleh Bahagian Penyelidikan Perundangan ini telah dihadiri oleh Tuan Haji Salehan bin Haji Yatim (Ketua Pendakwa Syarie), Dr. Suhaizad bin Saifuddin (Pensyarah UKM) serta semua Pendakwa Syarie Negeri Sembilan.
Penganjuran bengkel ini merupakan salah satu inisiatif berterusan JPeNS dalam memperkukuh dan memantapkan kerangka perundangan jenayah Syariah di Negeri Sembilan melalui penelitian serta semakan menyeluruh terhadap cadangan pindaan kedua-dua enakmen berkenaan.
Sepanjang tiga hari bengkel berlangsung, semakan terhadap cadangan pindaan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 telah berjaya diselesaikan. Sementara itu, penelitian terhadap cadangan pindaan Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 akan diteruskan dalam sesi semakan pada tahun 2027.
Sebagai langkah susulan, hasil semakan cadangan pindaan ETJSNS yang telah dimuktamadkan di peringkat bengkel akan dikemukakan oleh Ketua Pendakwa Syarie Negeri Sembilan kepada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) untuk pertimbangan dan tindakan selanjutnya.
JPeNS komited untuk meneruskan usaha penambahbaikan perundangan Syariah secara berterusan demi memperkukuh keberkesanan sistem keadilan jenayah Syariah, meningkatkan kecekapan pentadbiran keadilan serta memastikan setiap peruntukan undang-undang yang digubal selaras dengan prinsip hukum Syarak dan kepentingan masyarakat.
Semoga usaha ini menjadi pemangkin kepada pembangunan perundangan Syariah yang lebih komprehensif, sistematik dan berkesan di Negeri Sembilan.

SEMINAR KHAS PEGAWAI MASJID: PERANAN TERHADAP KES JENAYAH SYARIAH





SEMINAR KHAS PEGAWAI MASJID: PERANAN TERHADAP KES JENAYAH SYARIAH

📅 24 September 2026 (Khamis)
📍 Masjid Sri Sendayan, Bandar Sri Sendayan
Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan (JPeNS) telah menganjurkan Seminar Khas Pegawai Masjid: Peranan Terhadap Kes Jenayah Syariah sebagai usaha meningkatkan kefahaman pegawai masjid mengenai peranan, bidang kuasa serta tatacara tindakan apabila berhadapan dengan insiden yang mempunyai unsur kesalahan jenayah Syariah.
Program ini memberi penekanan kepada aspek peranan dan had kuasa pegawai masjid, perbezaan fungsi antara Pegawai Masjid, Pegawai Penguat Kuasa Agama, Polis, Pendakwa Syarie dan Mahkamah serta tindakan awal yang sewajarnya dilaksanakan apabila sesuatu aduan atau insiden berlaku.
Peserta turut diberikan pendedahan mengenai SOP tindakan awal dan kawalan situasi, penilaian risiko, prinsip penggunaan kekuatan minimum, penyerahan segera kepada pihak berkuasa, dokumentasi kejadian serta kepentingan menjaga maruah, kerahsiaan dan maklumat peribadi pihak yang terlibat. Pengisian seminar telah disampaikan oleh Tuan Abdul Wafi bin Ramli dan Tuan Mohd Hafiz bin Mohd Lazim, Pendakwa Syarie Negeri Sembilan.
Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Dr. Haji Awaludin bin Said, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Sembilan yang mewakili YAB Menteri Besar Negeri Sembilan.
Seminar ini diharapkan dapat memperkukuh kefahaman Pegawai Masjid supaya setiap tindakan berkaitan kes jenayah Syariah dapat dilaksanakan secara sah, selamat, berhemah, tersusun dan tidak melampaui bidang kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang.
JPeNS komited memperkukuh kefahaman undang-undang dan kerjasama strategik bersama institusi masjid demi memastikan pengurusan kes jenayah Syariah dilaksanakan secara profesional dan berintegriti.

Selamat Datang ke Portal Jabatan Pendakwaan Negeri Sembilan

DDMS
ehrmis freedom

privasi

MyHRMIS Mobile
Multi Language [MY] | [EN]