- jpens@ns.gov.my
- 06-761 4077
BENGKEL KIK HIBRID PERKUKUH KREATIVITI DAN INOVASI RENTAS AGENSI AGAMA NEGERI SEMBILAN














BENGKEL KIK HIBRID PERKUKUH KREATIVITI DAN INOVASI RENTAS AGENSI AGAMA NEGERI SEMBILAN
Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan (JPeNS) telah menganjurkan Bengkel Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Hibrid Siri 1 selama tiga hari dua malam (3H2M) bertempat di Pacific Regency, Port Dickson, Negeri Sembilan.
Bengkel yang dikendalikan oleh jurulatih KIK berpengalaman, Puan Rozila binti Rafie, ini melibatkan barisan Jawatankuasa dan ahli kumpulan KIK daripada tiga agensi utama pentadbiran undang-undang dan hal ehwal Islam Negeri Sembilan, iaitu Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Sembilan, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.
Penganjuran bengkel Siri 1 ini bertujuan memberikan pendedahan dan kefahaman kepada peserta mengenai pendekatan serta kaedah sistematik dalam membangunkan projek inovasi melalui penggabungan idea, pengalaman dan kepakaran daripada pelbagai agensi.
Sepanjang bengkel berlangsung, peserta didedahkan dengan penggunaan pelbagai kaedah dan tools inovasi bagi mengenal pasti isu, menganalisis permasalahan, menjana idea kreatif serta merangka penyelesaian yang praktikal dan berimpak tinggi. Pendekatan ini turut memberi ruang kepada peserta untuk berfikir secara kritis, bekerja secara berpasukan dan membudayakan perkongsian idea dalam menghasilkan inovasi yang mampu meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam.
Menariknya, gabungan tiga agensi ini telah membentuk sebuah kumpulan KIK yang dinamakan 3VIA (TreeVia) sebagai identiti kerjasama inovasi rentas agensi. Penubuhan kumpulan ini mencerminkan komitmen bersama ketiga-tiga jabatan untuk meneroka idea baharu, memperkukuh sinergi organisasi dan menghasilkan pembaharuan yang memberi manfaat kepada sistem pentadbiran serta perkhidmatan kehakiman dan perundangan Syariah.
Bengkel ini diharapkan menjadi titik permulaan kepada pembentukan budaya inovasi yang lebih progresif, dinamik dan berorientasikan penyelesaian masalah, sekali gus melahirkan projek KIK yang berkualiti serta mampu memberikan impak positif kepada organisasi dan masyarakat.
3VIA – Tiga Agensi, Satu Aspirasi, Melakar Inovasi.

